Dua Sekolah Amanah di Malaysia Tersenarai 10 Teratas Anugerah Sekolah Terbaik Dunia

Sekolah Kebangsaan Kempadang disenarai pendek dalam 10 Teratas Anugerah Sekolah Terbaik Dunia bagi kategori Inovasi. SMK Kampong Jawa disenarai pendek dalam 10 Teratas Anugerah Sekolah Terbaik Dunia bagi kategori Menangani Cabaran.

Dua buah Sekolah Amanah Malaysia disenarai pendek dalam 10 Teratas Anugerah Sekolah Terbaik Dunia yang menawarkan $250,000. Anugerah ini dilancarkan pada tahun ini oleh T4 Education dengan kerjasama Yayasan Hasanah, Templeton World Charity Foundation, Accenture dan American Express.


Sekolah Kebangsaan Kempadang, sebuah sekolah rendah di Kuantan, Malaysia telah tercalon dalam senarai 10 Teratas Anugerah Sekolah Terbaik Dunia bagi kategori Inovasi. SMK Kampong Jawa, sebuah sekolah menengah di Klang, Malaysia telah dicalonkan dalam senarai 10 Teratas Anugerah Sekolah Terbaik Dunia bagi kategori Menangani Cabaran.

Lima kategori Anugerah Sekolah Terbaik Dunia meraikan sekolah-sekolah di seluruh dunia yang memainkan peranan penting dalam membangunkan pelajar generasi hadapan dan sumbangan besar mereka terhadap kemajuan masyarakat, terutamanya semasa COVID.

Dato’ Shahira Ahmed Bazari, Pemegang Amanah & Pengarah Urusan Yayasan Hasanah, berkata:

“Kami amat berbesar hati menjadi salah satu penaja untuk anugerah global ulung, oleh T4 Education ini. Inisiatif berharga ini memberi pengiktirafan dan mendorong transformasi ‘bawah-ke-atas” dan mewujudkan satu komuniti global yang boleh belajar daripada satu sama lain serta mewujudkan peningkatan impak positif untuk murid-murid di seluruh dunia.”

“Para finalis kami adalah contoh terbaik sekolah yang mantap dengan kisah kejayaan yang memberi inspirasi. Saya mengucapkan jutaan tahniah kepada semua 10 Sekolah teratas tersebut. Kami amat berbangga kerana dua buah Sekolah Amanah Malaysia antara yang tersenarai, membuktikan bahawa sekolah awam mampu menjadi antara yang terbaik di dunia.”

Vikas Pota, Pengasas T4 Education dan Anugerah Sekolah Terbaik Dunia, berkata:

“Dengan lebih 1.5 bilion pelajar terkesan oleh penutupan sekolah dan universiti, COVID telah memburukkan lagi krisis pendidikan global. Sebelum pandemik berlaku, PBB telah pun memberi amaran bahawa perjalanan untuk mencapai kualiti pendidikan sejagat menjelang 2020 terlalu perlahan.”

“Kami telah melancarkan Anugerah Sekolah Terbaik Dunia sebagai penyelesaian akar umbi untuk membantu membina perubahan sistemik yang diperlukan. Melalui penceritaan kisah-kisah inspirasi sekolah yang mengubah kehidupan murid dan membawa perubahan sebenar kepada komuniti mereka, sekolah boleh berkongsi amalan terbaik dan suara mereka dapat didengari oleh pihak atasan untuk membantu transformasi pendidikan.

“Saya ingin mengucapkan sekalung tahniah kepada Sekolah Kebangsaan Kempadang dan SMK Kampong Jawa atas kejayaan disenarai pendek dalam 10 Teratas Anugerah Sekolah Terbaik Dunia yang julung kali diadakan. Kini, para pendidik di seluruh dunia akan dapat belajar daripada contoh sekolah-sekolah Malaysia yang cemerlang ini.”

Latar Belakang Sekolah

Sekolah Kebangsaan Kempadang, sebuah sekolah rendah di Kuantan, Malaysia menghadapi dua cabaran pada tahun 2021. Mereka bukan sahaja perlu berhadapan dengan pengajaran dan mengesan kemajuan murid semasa pandemik, malah keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia untuk memansuhkan ujian akhir sekolah rendah yang dikenali sebagai UPSR, yang digantikan oleh pentaksiran berasaskan sekolah berterusan, menyebabkan sekolah tidak dapat mengakses data masa-hakiki pembelajaran murid yang dapat menentukan perancangan pengajaran bagi menyokong semua murid. Pengalaman dan tunjuk ajar yang diperoleh daripada Program Sekolah Amanah telah membantu sekolah untuk berinovasi dan mencari penyelesaian sesuai dengan konteks mereka. Penyelesaian inovatifnya adalah dengan mencipta SMARTZOOM, sistem pengesanan automatik sepenuhnya yang menjejaki kemajuan pembelajaran murid.

SMARTZOOM menggunakan input data pada Google Sheet dan Google Chrome kerana semua guru di Malaysia mempunyai akaun Google dengan pautan khusus Kementerian Pendidikan Malaysia. Dengan menggunakan data ini, kakitangan dapat merangka rancangan pengajaran yang konkrit dan terperinci mengikut kesesuaian kelas mereka. Guru sokongan serta Ketua Panitia diberikan bahan latihan dalam bentuk video YouTube dan bengkel bagi membantu peralihan mereka.

Majoriti populasi murid Sekolah Kebangsaan Kempadang berasal daripada kumpulan 40% isi rumah pendapatan rendah di Malaysia. Di sebalik kerentanan muridnya, sekolah ini telah memupuk kepercayaan yang kuat dalam keupayaannya untuk mendidik mereka di sekolah ini. Sejak menjadi Sekolah Amanah pada 2015, kadar enrolmen telah meningkat sebanyak 6% atau 7% setiap tahun.

SMK Kampong Jawa, sebuah sekolah menengah di Klang, Malaysia, pernah berada di kedudukan dua terbawah daripada tiga puluh lapan sekolah di daerah Klang dalam keputusan akademiknya, tetapi sejak itu skornya telah meningkat sebanyak 20% dan diberi anugerah kehadiran dalam talian tertinggi semasa pandemik.

Pada 2017, mayat seorang wanita yang dibunuh telah ditemui di luar perkarangan SMK Kampong Jawa, petanda betapa mencabarnya keadaan persekitaran sekolah itu. Sebuah sekolah dengan 75% muridnya berasal daripada keluarga yang berpendapatan rendah, SMK Kampong Jawa pernah dikaitkan dengan kemiskinan bandar, kehadiran murid yang rendah dan masyarakat setempat hilang kepercayaan terhadap sekolah. Dahulu, bilik darjahnya menjadi mangsa vandalisme, kecurian adalah perkara biasa dan muridnya sering diperalatkan menjadi kumpulan samseng di sekitar kawasan tersebut. Semasa sekolah ini meminta pembiayaan daripada penaja untuk membeli peralatan yang lebih baik pada 2017, permintaan mereka telah ditolak. Setahun selepas itu, keputusan akademik sekolah adalah rendah - hanya 59% murid memperoleh kelayakan tamat persekolahan mereka.

Namun, dalam tempoh masa 632 hari, SMK Kampong Jawa berjaya mengubah kesukarannya menjadi satu kejayaan. Pemangkin kepada perubahan tersebut adalah daripada pelantikan pengetua baharu pada Ogos 2020 yang membantu mengubah polisi sekolah supaya selaras dengan visinya untuk membawa perubahan, melalui pelaksanaan Program Sekolah Amanah. Di bawah pimpinan beliau, SMK Kampong Jawa memulakan pendekatan berasaskan data intensif untuk kehadiran dan menghubungi lebih 500 ibu bapa untuk mengetahui lebih lanjut tentang murid dan persekitaran rumah mereka. Bagi mereka yang masih tidak menghadiri kelas, kaunselor sekolah akan membuat lawatan ke rumah mereka.

Dengan penyelidikan intensif yang sedang dijalankan, SMK Kampong Jawa mereka bentuk kelas dalam talian yang bereksperimen dengan breakout room dan struktur pembelajaran kolaboratif yang menawarkan sokongan rapat rakan-ke-rakan serta memastikan sesi kumpulan kecil produktif dan menarik. Kehadiran kelas dalam talian dan keputusan akademik mula bertambah baik. Sekolah ini juga memberi fokus terhadap cabaran yang dihadapi oleh beberapa muridnya dan mula menjalinkan rangkaian dengan badan amal tempatan bagi membantu mereka yang mengalami masalah kewangan. Dalam satu kes, SMK Kampong Jawa berjaya membantu keluarga murid berpindah ke rumah yang lebih baik. Sekolah ini akan terus menyediakan pengajaran secara bersemuka dan secara dalam talian di bilik darjah, sepanjang pandemik.

Langkah Seterusnya

3 finalis Terbaik untuk setiap lima kategori Anugerah Sekolah Terbaik Dunia – iaitu Kolaborasi Komuniti, Tindakan Alam Sekitar, Inovasi, Menangani Cabaran dan Menyokong Kehidupan Sihat - akan diumumkan pada tahun ini. Selepas undian awam, pemenang setiap Anugerah akan dipilih berdasarkan kriteria yang ketat oleh Akademi Juri yang terdiri daripada pemimpin terbilang di seluruh dunia termasuk ahli akademik, pendidik, NGO, usahawan sosial, kerajaan, masyarakat sivil dan sektor swasta.

Pemenang akan diumumkan pada Oktober 2022 di World Education Week. Hadiah bernilai AS$250,000 akan dikongsi sama rata dalam kalangan pemenang lima Anugerah tersebut, dengan setiap pemenang menerima AS$50,000.

Kesemua 50 sekolah yang disenarai pendek dalam lima Anugerah tersebut akan berkongsi amalan terbaik mereka melalui toolkit yang memaparkan "rahsia" tentang pendekatan inovatif mereka dan langkah terperinci tentang bagaimana sekolah lain boleh menggunakan kaedah mereka untuk membantu menambah baik pendidikan di seluruh dunia.

TENTANG T4 EDUCATION

Kami percaya bahawa setiap kanak-kanak berhak mendapat pendidikan yang baik. Kami sedang membina komuniti terbesar guru dan sekolah di dunia untuk mencapai matlamat ini, bersama-sama. Platform media digital kami menyediakan peluang kepada para pendidik untuk menjalinkan rangkaian, berkolaborasi, berkongsi amalan terbaik dan menyokong usaha satu sama lain untuk menambah baik pembelajaran. Kami berusaha untuk memantapkan suara guru, kerana dunia yang kita impikan hanya dapat dibina dengan mendengar suara mereka yang menjadi nadi kepada pendidikan.





For more information, please contact Salman Shaheen: salman@t4.education


TENTANG YAYASAN HASANAH

Yayasan Hasanah (“Hasanah”) merupakan sebuah yayasan berasaskan impak di bawah Khazanah Nasional Berhad (“Khazanah”), dana kekayaan berdaulat Malaysia. Hasanah lahir sebagai sebuah yayasan penganugerahan geran bebas pada 1 Julai 2015; sebuah kesinambungan kepada usaha Tanggungjawab Korporat (CR) yang sebelumnya dipacu oleh Khazanah untuk sembilan tahun. Sebagai organisasi penganugerahan geran, Hasanah menjangkau lebih daripada wang ringgit untuk memudahkan ekosistem transformasi, berkerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan, menanamkan semangat advokasi dan membina kemampuan dalam lima bidang tumpuan utamanya: Pendidikan; Pembangunan Komuniti; Alam Sekitar; Kesenian & Ruang Awam; dan Pengetahuan. Secara kolektif dan kolaboratif, Hasanah berharap dapat menggerakkan anjakan reformasi sosial dan masyarakat untuk rakyat Malaysia, ke arah Malaysia yang lebih baik. Bagi mendapatkan maklumat lebih lanjut, sila layari www.yayasanhasanah.org.


TENTANG SEKOLAH AMANAH

Program Sekolah Amanah adalah solusi transformasi sekolah secara menyeluruh yang bermatlamat untuk membugarkan budaya sekolah dan mempertingkatkan pengajaran dan pembelajaran untuk menghasilkan kemenjadian murid yang holistik. Program ini dilaksanakan melalui kerjasama awam-swasta antara Kementerian Pendidikan Malaysia dan Yayasan AMIR, dengan LeapEd Services diberi tanggungjawab untuk mereka bentuk, membangunkan dan menyampaikan program kepada sekolah awam di seluruh negara. Ia termasuk bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan: Pengetua/Guru Besar, Pemimpin Pertengahan, guru, murid-murid, ibu bapa dan komuniti yang lebih besar untuk menambah baik kualiti pendidikan. Fokus program adalah untuk menyesuaikan amalan terbaik antarabangsa kepada sekolah Malaysia berdasarkan konteks tempatan, dengan tumpuan kepada pendekatan berasaskan data dan berasaskan evidens serta penekanan terhadap kelestarian dan kebolehskalaan 

Sehingga kini, 94 Sekolah Amanah di 13 buah negeri, mewakili pelbagai komuniti: bandar, luar bandar, B40, Sekolah Cina dan Tamil, Sekolah Agama, Orang Asli dan sekolah berasrama penuh yang berprestasi tinggi. Program Sekolah Amanah telah menunjukkan keputusan yang signifikan dalam semua sasaran bidang impak: termasuk kepimpinan sekolah, peningkatan pengajaran dan pembelajaran serta kemenjadian murid, penglibatan ibu bapa dan komuniti yang lebih baik, serta mempengaruhi reformasi dan perubahan sistemik.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Susan Tan, 019-5731688, susan.tan@vantagecomms.com

Post a Comment

0 Comments