SHOWCASE JIWA MALAYSIA 2025 BUKTI JIWA BARU & IRAMA LAMA SERASI BERSAMA DI SATU PENTAS

Keunikan Showcase Jiwa Malaysia adalah kejayaan menghimpunkan barisan artis & penyanyi baru dan lama di atas satu pentas. Selain membuktikan jiwa baru dan irama lama mampu bersatu dan berkongsi satu pentas yang sama, ia sekaligus dapat mengangkat bakat tempatan dan menghargai lagenda. Jadi, tidak hairanlah Showcase Jiwa Malaysia mendapat sambutan hebat dari semua lapisan umur merentasi zaman dan berjaya menghimpunkan mereka di bawah satu bumbung dengan energi yang luar biasa.
 


Sorakan di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil bergema dengan penuh semangat pada 1 November 2025 apabila Showcase Jiwa Malaysia kembali dengan edisi kedua yang amat dinanti-nantikan. Radin dan Sasha, penyampai Radio Era selaku host yang telah berjaya menghidupkan malam itu dengan keletah dan celoteh sempoi mereka. Enam artis hebat tanah air iaitu Alpha, Kugiran Masdo, Floor 88, Baby Shima, Def Gab C dan 6ixth Sense bersatu dalam satu malam penuh magis yang mengingatkan kita semua mengapa muzik tempatan sentiasa mempunyai tempat istimewa di hati rakyat Malaysia. Line up artis yang mantap kali ini seolah-olah memanggil aku untuk turut serta. Bukan senang aku nak join konsert, tapi bila tengok ada Band favorite dulu-dulu, dengan aku sekali terjebak. 




Alpha tampil dengan gerak tari yang lincah untuk membuka persembahan Showcase Jiwa Malaysia. Dengan persembahan pembukaan Mona Lisa, penonton dah bersorak kerana ia petanda mereka bakal menyaksikan sesuatu yang luar biasa. Kumpulan lelaki yang sedang meningkat naik itu memukau penonton dengan koreografi mantap dan lagu-lagu menarik seperti P. Ramlee Saloma dan Bujang yang telah menetapkan suasana untuk malam yang penuh bertenaga. 






Kemudian, tiba giliran Kugiran Masdo, yang menukar dewan menjadi satu sesi nyanyian beramai-ramai dengan pesona retro-pop mereka yang tersendiri. Lagu seperti Janji Manis dan Dinda membuat para peminat terbuai, bernyanyi dan tersenyum dari awal hingga akhir.




Floor 88 meneruskan momentum dengan lagu pembukaan Original Sabahan, satu penghormatan kepada kebanggaan budaya yang membakar semangat penonton. Persembahan mereka menerusi Zalikha, Kongkalikong, dan Hutang menjadi kegilaan ramai, menampilkan tenaga luar biasa yang hanya dapat dirasai dalam konsert seperti di Showcase Jiwa Malaysia. 



Selepas itu, pentas diambil alih oleh Baby Shima yang penuh dengan karisma luar biasa. Ratu lagu viral ini sekali lagi membuktikan mengapa bintangnya terus bersinar, mempersembahkan Stechu-Stechudan Pap Pap dengan keyakinan dan gaya yang memukau. Gerak tari, keletah manja, dan interaksi spontan bersama penonton menukar dewan menjadi pesta dangdut-meets-pop yang penuh warna. Gamat satu dewan!




Suasana kemudian bertukar lebih emosi dan berkuasa apabila Def Gab C, yang menggegarkan pentas dengan lagu malar segar mereka, Ibu Kota Cinta dan Cinta Sakti. Ia merupakan imbasan nostalgia ke zaman kegemilangan rock Malaysia era 2010-an. Ini antara lagu-lagu favorite aku yang dulunya jadi halwa telinga ketika sedang belajar. Memang menggamit memori!




Menutup tirai persembahan ialah 6ixth Sense yang tampil di pentas dengan lagu-lagu jiwa galau kegemaran ramai seperti Khatimah Cinta dan Tanpa. Vokal merdu dan penyampaian penuh perasaan mereka benar-benar menyentuh jiwa, mencipta antara detik paling berkesan sepanjang malam itu sebagai penamat sempurna untuk malam yang luar biasa.



Showcase Jiwa Malaysia dianjurkan oleh Regnant Works dengan sokongan Perbadanan Stadium Malaysia. Acara seumpama ini membuktikan bahawa muzik tempatan bukan sekadar bertahan, tetapi semakin berkembang maju. Showcase Jiwa Malaysia perlu diteruskan lagi di masa-masa akan datang bagi merancakkan lagi industri hiburan tanah air dengan memberi platform terbaik kepada artis baru dan lama berkarya. 


Kejayaan Showcase Jiwa Malaysia kali ini adalah hasil kerjasama daripada Hyatt Place Kuala Lumpur Bukit Jalil, ERA, Sinar, Gegar, Gempak, My Ticket Asia, Chagee, dan PtE. Showcase ini mencerminkan kehebatan apabila industri bersatu untuk mengangkat bakat tempatan ke tahap lebih tinggi.

Dari awal hingga akhir, Showcase Jiwa Malaysia 2025 bukan sekadar sebuah konsert. Ia adalah perayaan penuh kebanggaan terhadap kreativiti, irama, dan perpaduan Malaysia dan bukti bahawa apabila artis tempatan mengambil alih pentas, mereka bukan sekadar membuat persembahan; mereka menaklukinya. Mereka bukan hanya sekadar menyanyi dengan suara, tetapi dengan seluruh jiwa!

Agak-agak, untuk Showcase Jiwa Malaysia akan datang korang nak tengok siapa? Personally, aku nak tengok New Boyz, Kapilla dan Exists kembali berentap di pentas besar. Kalau boleh bawa Senario pun best jugak. Mesti gamat satu dewan pakat boleh sing along. Ayuh, kembalikan lagenda. Sama-sama kita raikan bakat baru dan beri peluang kepada yang lama. 

Post a Comment

0 Comments