TIPS PENGURUSAN KEWANGAN PERIBADI

/
0 Comments
Setelah memasuki alam pekerjaan, ada satu perkara yang saya kesal sampai ke hari ini. Kenapa saya tiada ilmu pengetahuan yang cukup dalam pengurusan kewangan peribadi sebelum ini? Kenapa kita rakyat Malaysia tiada silibus atau sukatan pelajaran yang khusus untuk mengajar dengan lebih terperinci tentang pengurusan kewangan peribadi? Bagi pendapat peribadi saya, ilmu dan selok-belok tentang pengurusan kewangan peribadi adalah penting untuk membantu seseorang individu dalam menempuh alam pekerjaan dan alam kehidupan yang sebenar selepas tamat pengajian. Paling penting, macam mana cara yang betul dan efektif untuk kita membuat simpanan, pinjaman dan pelaburan untuk masa depan yang lebih terjamin? 


Persediaan sebelum menempuh dunia realiti sebenar 

Selepas tamat pengajian, kehidupan sebenar bakal kita tempuh. Selaku individu yang baru nak bertapak dalam dunia pekerjaan, semestinya dunia realiti yang penuh cabaran terpaksa kita hadapi sama ada kita bersedia ataupun tidak. Bagi saya, kita ada cukup ilmu ataupun kurang berilmu tentang pengurusan kewangan peribadi, seseorang individu itu perlu berhadapan dengan realiti hidup sebenar. Hidup mesti diteruskan walaupun perit. 

Bermula dari duit perbelanjaan untuk memulakan hidup baru apabila memulakan dunia perkerjaan, sehingga ke pengurusan duit sewa rumah bulanan, wang saku, kos pengangkutan dan perbelanjaan lain, semuanya kita kena uruskan sendiri. Pengurusan kewangan peribadi ini memerlukan ilmu dan pengalaman terutama sekali apabila kita bekerja di ibu kota, Kuala Lumpur yang semestinya memerlukan perbelanjaan yang lebih besar. Pucuk pangkalnya, kita kena sentiasa bersedia dengan apa jua kemungkinan. 


Belanja tak ingat dunia! 

Kemudian, bagaimana kita nak menguruskan pendapatan bulanan yang kita dapat setiap bulan? Setiap hujung bulan, kita akan dibayar gaji. Ada yang mendapat pekerjaan yang bagus dengan gaji yang lumayan. Ada pula yang mendapat pekerjaan yang biasa-biasa sahaja dengan gaji yang cukup-cukup makan. Berapa pun jumlah pendapatan bulanan yang kita dapat, kunci utama di sini adalah ilmu pengetahuan kita untuk menguruskan kewangan peribadi dengan teliti dan menguruskan perbelanjaan kita dengan berhemah. 

Bayangkan kalau kita dapat gaji tinggi, malangnya kita tidak bersedia dengan kemewahan yang kita terima sekelip mata, apa akan jadi dengan wang yang kita ada? Semestinya, seseorang individu itu akan lebih cenderung untuk berbelanja sakan tak ingat dunia dan memilih untuk memenuhi kehendak peribadi. Contohnya, berbelanja untuk membeli pakaian yang berjenama, berbelanja untuk makan dan minum yang sedap-sedap di restoran mewah dan mungkin ada juga yang menggunakan wang yang ada untuk melancong keliling dunia. Pendek kata, leka untuk penuhi kehendak, “biar papa, asal bergaya!”. Akhirnya, diri sendiri merana dengan kesempitan kewangan yang melanda. 


Belanja sakan tetapi simpanan tiada? 

Persoalannya, setelah belanja sakan, adakah pendapatan yang kita ada mencukupi sebelum gaji atau pendapatan bulan seterusnya yang akan kita terima? Orang kata, “Dengar guruh di langit, air di tempayan jangan dicurahkan!” Bukan apa, takut nanti belum sampai masa untuk terima gaji seterusnya, kita sudah makan bercatu dan dompet sudah kering. Sanggupkah kita untuk ikat perut dan berlapar? Atau, cukup tebalkah muka kita untuk berhutang keliling pinggang? “Tepuk dada, tanya selera!” 

Jadi, setiap individu perlu mempunyai ilmu pengetahuan kewangan peribadi yang cukup dalam menguruskan wang pendapatan masing-masing. Dengan ilmu yang cukup, inshaAllah duit yang kita terima akan dapat dibelanjakan dengan berhemah dan paling penting wang simpanan kita akan terjamin. Kalau kena cara, lebihan simpanan dan perbelanjaan yang ada, kita boleh mulakan pelaburan untuk melipat-gandakan simpanan yang ada. 


5 kunci Asas Pengurusan Kewangan Peribadi 

Di kesempatan ini, saya terpanggil untuk berkongsi serba-sedikit tentang ilmu asas yang perlu kita tahu tentang pengurusan kewangan peribadi. Saya tak mahu perkara yang berlaku kepada saya beberapa tahun sudah, berulang lagi untuk anda di luar sana. Seboleh-bolehnya, anda di luar sana tak mengulangi kesilapan saya yang dulu. Saya mengaku dan menyesal, saya tidak cakna dengan pengurusan kewangan peribadi. Bila saya sedar, semuanya sudah terlambat. Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk semua pembaca terutama sekali kepada golongan belia yang baru memasuki alam pekerjaan. Galilah ilmu kewangan sebanyak mungkin agar kita lebih cakna dengan hala tuju masa depan kita. 


1. Simpanan 

Kunci utama dalam kejayaan pengurusan kewangan peribadi adalah menguasai ilmu untuk mempunyai wang simpanan peribadi. Seboleh-bolehnya, kita kena simpan sekurang-kurangnya 20% daripada pendapatan bulanan kita. Contohnya, kalau gaji RM2000, sekurang-kurangnya kita perlu simpan RM400 sebulan. Kalau ada pendapatan sampingan dan merancang untuk tambah simpanan bulanan, itu terpulang kepada anda. Lagi banyak duit simpanan, lagi baik untuk masa depan. 


Untuk wang simpanan, dinasihatkan untuk kita juga mempunyai Tabung Kecemasan (Emergency Fund) peribadi sekurang-kurangnya berjumlah 3 hingga 6 bulan gaji. Contohya, kalau gaji RM2000 sebulan, Tabung Kecemasan kita yang perlu kita ada berjumlah sekurang-kurangnya RM6,000 sehingga RM12,000 mengikut kemampuan peribadi. 


2. Pinjaman 

Untuk fasa seterusnya, setiap individu akan cenderung untuk membuat pinjaman dari bank-bank atau institusi kewangan yang ada di Malaysia. Bila mula bekerja, semestinya kita memerlukan kenderaan sendiri. Untuk yang sudah lama bekerja, mungkin ada juga yang merancang untuk membeli rumah sendiri. Jadi, semestinya kita perlu membuat pinjaman. Tapi kena ingat, sebelum buat sebarang pinjaman, kita "Kena ukur baju di badan sendiri". Beli kereta atau rumah mestilah mengikut kemampuan kewangan peribadi. 


Untuk pinjaman, kita di Malaysia ada dua pilihan. Sama ada pinjaman konvensional atau pinjaman Islamik. Semua terpulang kepada individu. Sebaik-baiknya, untuk orang Islam lebih baik kita membuat simpanan mahupun pinjaman berlandaskan hukum syarak. Kita beruntung, di Malaysia kita diberi pilihan untuk Perbankan Konvensional ataupun Perbankan Islamik. 

Apa beza pinjaman dari bank konvensional dan Islamik? Di sini, paling penting kita perlu ada ilmu untuk tahu lebih lanjut tentang apa itu riba. Ketahui kelebihan yang ditawarkan oleh pihak Bank untuk setiap permohonan pinjaman yang kita buat. 


3. Pelaburan 

Selain ilmu simpanan dan pinjaman, antara ilmu pengurusan kewangan peribadi lain yang patut kita tahu adalah ilmu pelaburan. Untuk pelaburan jangka pendek ataupun pelaburan jangka panjang, sebaik-baiknya kita pilih pelaburan patuh syariah. Di Malaysia, terdapat banyak cara untuk kita melabur. 

Antara yang paling popular adalah Amanah Saham Bumiputra (ASB), Unit Amanah (Unit Trust), Tabung Haji dan macam-macam lagi. Antara faedah yang bakal kita dapat dengan pelaburan yang betul adalah pulangan dividen setiap tahun. Selain membuat simpanan, dalam masa yang sama kita melabur untuk mengaut keuntungan. Selain pelaburan dalam bentuk wang ringgit, kita juga boleh membuat pelaburan emas. Apa yang lagi menarik tentang pelaburan emas adalah nilai emas amat payah untuk susut dan tidak terjejas dengan kadar inflasi. Paling penting, pelaburan emas juga amat mudah untuk dicairkan kepada wang tunai kerana permintaannya amat tinggi di pasaran. 


Kadang-kadang, ada yang mempersoalkan. “Eh, haram kalau kita melabur di ASB. Betul ke?” Pada pendapat saya, kalau timbul isu-isu seumpama ini, sebaik-baiknya kita kaji dan selidik betul-betul dulu. Elakkan perkara yang syubhah (ragu-ragu). Cara terbaik adalah dengan merujuk penasihat syariah yang mempunyai ilmu dan kepakaran dalam selok-belok pelaburan. 


4. Zakat 

Sebagai orang Islam, selain memilih perbankan Islamik, pelaburan yang patuh syariah, kita juga perlu membayar zakat. Mungkin ramai antara kita yang tak cakna mengenai keperluan untuk mengeluarkan zakat. Secara ringkasnya, selain zakat fitrah yang diwajibkan kepada setiap individu di bulan Ramadan, kita juga perlu ada ilmu untuk menguruskan zakat pendapatan, zakat wang simpanan, zakat emas dan macam-macam lagi. 


Tahukah anda, kalau kita simpan duit di ASB contohnya untuk tempoh setahun (cukup haul) melebihi jumlah tertentu (RM15,000), kita dikenakan zakat wang simpanan? Jangan risau, kalau belum pernah tahu tentang ini, kita boleh rujuk macam mana cara bayar zakat secara online. Banyak ilmu berkaitan zakat yang dapat kita pelajari. Yang penting, kena rajin membaca dan bertanya pada yang berilmu. 


5. Harta Pusaka 

Akhir sekali, apabila kita dah ada simpanan dan pelaburan yang stabil, semestinya harta kita pun sudah banyak. Persoalannya, kalau kita tiba-tiba ditakdirkan untuk meninggal dunia, pernah tak kita tefikir macam mana harta kita akan diuruskan? Kepada siapa harta kita bakal diagihkan? Untuk mengelakkan sebarang pertelingkahan antara mereka yang masih hidup terutama sekali dalam perebutan harta pusaka, Islam memang menitikberatkan tentang ilmu pembahagian harta pusaka. 


Jadi, sangat penting untuk kita merujuk pentadbir harta pusaka yang dapat memberi pencerahan tentang isu ini kepada kita. Dengan ilmu yang betul, inshaAllah urusan pembahagian harta pusaka untuk mereka yang berhak dapat dilaksanakan dengan telus dan saksama. Bukan hanya harta wang ringgit, malah hibah rumah juga dapat diuruskan dengan lancar.

Semoga dengan perkongsian kali ini, sedikit-sebanyak dapat mengajak anda semua untuk lebih cakna tentang pengurusan kewangan peribadi. Ingat, harta yang kita ada perlu diuruskan sebaik mungkin. Kita ibarat nakhoda kapal. Kalau baik cara kita mengawal kapal, maka baiklah pelayaran kita dalam menuju destinasi. Walau badai datang melanda, kalau kapal kita kukuh, ilmu kita cukup, inshaAllah kita mampu menongkah arus gelora yang melanda dengan tenang. Begitu juga dengan kehidupan kita, kalau kita ada ilmu yang cukup dan kewangan yang stabil, semestinya kita akan berjaya dalam hidup. 


Selamat beramal!


You may also like

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...