Gali-gali-gali-gali-gali lobang
Gali-gali-gali-gali-gali lobang

Lobang digali menggali lobang
Untuk menutup lobang
Tertutup sudah lobang yang lama
Lobang baru terbuka


Kat atas ni sebahagian lirik lagu "GALI LOBANG TUTUP LOBANG". Lirik lagu di atas sebenarnya pasal hutang. Pinjam duit keliling pinggang, tapi tak gheti-gheti nak bayar. Hutang sana, hutang sini, nak bayar tapi liat. Walaupun hakikatnya, hutang wajib dibayar walaupun tidak dituntut. Tapi, hari ni bukan nak cakap pasal hutang, pemiutang dan penghutang. Cuma nak cakap pasal "GALI LUBANG TUTUP LUBANG".


Aku cuma tertarik dengan baris ayat ni, Lobang digali menggali lobang, Untuk menutup lobang, Tertutup sudah lobang yang lama, Lobang baru terbuka. Aku nak gunakan baris ayat ni sebagai analogi tentang apa yang sedang berlaku sekarang di dunia blog mahupun twitter. Pendek kata, di dunia siber tanpa sempadan ni.


Mula-mula, mari kita kecilkan skop perbincangan. First skali, untuk pendefinisian. Cuba kita takrifkan lubang ini sebagai "aib". Ya, "aib" seseorang. Gali pula sebagai "usaha seseorang terhadap aib tersebut". Menutup lubang dan membuka lubang pula adalah "usaha orang sekeliling berkaitan aib terbabit". Aku rasa "aib" apa, tak perlu diperjelaskan panjang lebar di sini kerana aku yakin lebih sejuta orang dah tahu (propa je nih). Maksudnya, dah ramai orang tahu pasal isu yang ingin aku utarakan di sini. So, tak payah buat blurr.


Lobang digali menggali lobang
Aku tak pasti dari mana lubang ini dijumpai. Tapi yang pastinya, lubang yang dijumpai itu kini digali dan terus digali. Kepada penggali asal, memang sah-sah la dia gali lubang untuk timbus diri sendiri. Untuk orang sekeliling pula, mungkin lubang yang telah digali itu menjadi satu fobia untuk mereka, takut-takut terjerumus dan tertimbus sama. Untuk sebahagian manusia pula, ada yang mengaggap lubang itu satu "nikmat" buat mereka. Gayanya seperti ada potensi selaku bisness baru untuk digali dan dikorek. Seterusnya dalamkan lubang itu untuk kepentingan sendiri. Nak dapatkan emas, harta karun, mata air mungkin.

Untuk menutup lobang
Ramai yang berziarah ke lubang itu. Ada yang sekadar lalu-lalang, ada juga yang singgah sekadar ingin membuat ujikaji dan eksperimen. Tidak terlepas, ada yang berusaha untuk menutup lubang itu. Malangnya, bukan semua yang menutup lubang itu menggunakan teknik yang betul. Ada yang menggunakan teknik kotor, hanya sedikit yang menggunakan teknik yang berkesan dan menjurus ke arah kemaslahatan sejagat.

Tertutup sudah lobang yang lama
Kata sesetengah yang bertanggungjawab untuk menutup lubang itu, "Tak elok gali lubang untuk timbus diri sendiri". Bunyinya sungguh prihatin dan cakna. Tapi, sejauh manakah keberkesananya dan jaminan untuk menutup lubang lama itu?

Lobang baru terbuka
Apa yang jelas kelihatan hari ini, bukan semakin cetek lubang itu, malah makin dalam dibuatnya. Yang berpesan, menasihati, malah yang mengutuk tindakan itu sekalipun semakin teruja untuk menggali lubang itu agar semakin dalam dengan cara mereka sendiri. Bukan setakat itu, malah dinaik taraf pula dengan teknologi mereka sendiri agar lubang itu semakin maju. Gali sana, gali sini. Semakin banyak lubang-lubang kini bertebaran di sana sini. Motif? Tujuan? Apakah sebenarnya? Hanya mereka yang bertanggungjawab sahaja mampu menjawabnya.


Tak guna kalau kita kata "Tak elok gali lubang untuk timbus diri sendiri"
Sedangkan kita sendiri "Cuba tutup lubang lama, lubang baru pula yang terbuka merata-rata"


Ini bukan "penyelamat" yang bijak, tetapi "pembunuh sempelat!"


p/s: Kita bukan siapa-siapa untuk menjatuhkan hukuman. Semoga apa yang terjadi menjadi pengajaran dan pedoman buat semua yang masih waras. Baik dijadikan teladan, buruk dijadikan sempadan. Bukan semua tindakan yang kita buat adalah betul, tidak kira benda baik mahupun tak baik. Kita memang tidak boleh lari dari kekhilafan diri, tapi apa kata kita cuba atasinya.


Entri ini pun mungkin baik, mungkin tidak baik. Apa yang aku rasa ingin aku kongsi. Kerana mana mampu untuk aku bersuara lantang. Cuma di sini, secoret kata untuk mereka yang sudi baca, dan rasionalkannya sahaja. Bukan tujuan untuk "attack" atau "menjatuhkan" sesiapa. Noktah