Cerita ini bukan cerita semalam
Bukan juga cerita hari ini
Tetapi cerita seminggu yang lalu
Cerita di Teluk Kumbar pada 15 Ogos 2010



Pada hujung minggu, seperti biasa perancangan untuk keluar berjalan-jalan itu ada. Cuma yang tinggal hanya tindakan sama ada jadi ataupun tidak, tengok keadaan semasa. Kebetulan pada hari Ahad yang lalu, housemate (Faiz) mengajak pergi ke Teluk Kumbar untuk melawat Jeti dan kawasan sekitarnya.Subhanallah, pemandangan waktu pagi sungguh hening di sana. Ombak memukul pantai bertalu-talu, sampan nelayan yang bertali terumbang ambing dipukul ombak, langit tinggi tidak bertiang dan lautan luas tidak bertepian membawa aku berfikir sejenak.



Sedang asyik Faiz merakamkan pemandangan yang indah dengan kameranya, aku merakam sedikit video sampan nelayan yang berterusan dipukul ombak. Tiba-tiba, terdengar suara orang menegur.

"Nampak pulau? Nampak pulau baru cantik", tanya seorang pak cik tua kepada Faiz.

Mereka memulakan bicara. Aku mula menghampiri mereka untuk turut serta mulakan perbualan.

"Where are you come from?" sambung pertanyaan pak cik tadi.

"Kelantan. Saya orang Malaysia", lantas jawab aku dengan slumber.

Kelihatan pak cik itu terpinga-pinga, mungkin kurang jelas jawapan yang aku lontarkan. Selepas diulang, barulah beliau dengar dan mula berceloteh panjang. Beliau sangkakan aku pelancong asing, apakah? Beliau mulakan bicaranya dengan menyebut tempat-tempat yang pernah beliau kunjungi di Kelantan termasuklah Bachok, Kota Bharu, Machang, Pasir Putih, Pantai Cahaya Bulan dan Tanah Merah. Gayanya memang cukup menampakkan beliau seorang yang pernah berkunjung ke Negeri Cik Siti Wan Kembang itu.

Rupa-rupanya, ramai dalam kalangan menantunya berasal dari Kelantan. Beliau juga pernah menyertai marathon yang diadakan di Kelantan iaitu dari Kota Bharu ke Besut, Terengganu.



Setelah berbual panjang, lantaran beliau mengajak kami ke rumahnya. Sempat lagi beliau berseloroh, "Puasa tak hari ini? Sudah makan ke belum?". Kami menjawab sambil tersenyum, "Sudah makan sahur tadi".

Kami menaiki kereta mengikut beliau yang mengayuh basikal tuanya ke kediamannya di Kampung Paya, Teluk Kumbar. Terdapat banyak rumah-rumah berhampiran kediamannya tetapi keadaan agak lengang. Mungkin masih sunyi dan sepi kerana awal pagi, iaitu lebih kurang 10 pagi.

Beliau dikurniakan 9 orang cahaya mata yang kini semuanya sudah bekerja dan berkeluarga. Kini, beliau tinggal sebatang kara kerana isterinya sudah meninggal dunia. Namun, masih ada anak-anaknya yang tinggal bersebelahan rumah beliau.





Setibanya di rumahnya, kami dihidang dengan pelbagai juadah. Oleh kerana sekarang bulan Ramadhan, makanya sudah pasti bukan juadah makanan dan minuman. Sebaliknya juadah cerita dan pengalaman darinya yang kini berusia melebihi 80 tahun.

Beliau ke hulu ke hilir mengambil segala koleksi yang beliau miliki untuk ditunjukkan kepada kami. Pelbagai koleksi beliau hidangkan kempada kami sehingga berselerakan ruang tamu rumahnya.











Antaranya, album peribadi miliknya. Koleksi gambar-gambar beliau sejak dari kanak-kanak sehinggalah muda remaja.

Sambil membelek helaian album gambar, mulutnya tidak berhenti berceloteh dan bercerita mengenai pengalamannya sewaktu muda-muda.









Beliau juga merupakan seorang bekas askar yang telah berkhidmat dalam pasukan Tentera Tanah Melayu pada waktu itu.

Apa yang kami dapat tahu, beliau adalah seorang askar yang aktif bersukan. Melibatkan diri dalam acara marathon dan bola sepak merupakan rutin hidupnya dari dulu lagi. Tidak pelik apabila beliau menyatakan sehingga hari ini beliau masih berlari dan menyertai pertandingan marathon yang diadakan dalam usia 80 tahun. Paling membanggakan, masih boleh memenangi acara yang dipertandingkan.




Penglibatan beliau dalam marathon bukan sekadar penyertaan biasa. Beliau telah memenangi beberapa siri marathon yang dipertandingkan tidak kira di Pulau Pinang mahupun negeri-negeri lain di Malysia.

Beliau pernah menyertai acara marathon dan berjalan kaki yang diadakan di Singapura dan China.







Mungkin penglibatan aktif beliau dalam bidang sukan dan sumbangan beliau dalam bidang ketenteraan membolehkan beliau diberi pengiktirafan.

Apa yang menarik, pada tahun 1998 beliau telah dikurniakan pingat oleh Sultan.

Beliau telah dikurniakan Pingat Jasa Kebaktian iaitu PJK.






Antara koleksi gambar simpanannya yang membuktikan beliau dikurniakan Pingat Jasa Kebaktian (PJK) pada tahun 1998.













Bukan sekadar cerita dan pengalaman, yang lebih menarik bukti diselitkan sekali dalam penceritaanya.

Berikut merupakan antara koleksi piala yang pernah dimenanginya sewaktu zaman kegemilangannya dalam arena marathon.









Selain dari piala-piala yang pernah dimenanginya, terdapat pelbagai pingat yang turut diperagakan kepada kami. Pingat paling menarik adalah pingat sempena penglibatannya di China dan Larian Jambatan Pulau Pinang.

Walaupun hampir kesemua koleksi piala dan pingat yang beliau miliki kelihatan usang dan klasik, namun itulah simbolik kepada kejayaan dan pencapaian beliau suata masa dahulu.






Mungkin kerana penglibatan aktif dan penyertaan di merata tempat membolehkan beliau mengumpul mata wang asing dari pelbagai negara.

Teruja melihat pelbagai jenis matawang yang berusia puluhan tahun dalam koleksi simpanan beliau.

Bukan setakat wang kertas, syiling juga menjadi barang kenangan di lewat usianya.






"All my children must can speak English. Kerana apa? Because I can speak English. Kenapa mereka tidak boleh?" itulah antara kata-katanya sewaktu di jeti tadi.

Secara automatik, kami tahu beliau seorang yang berpendidikan dan seorang yang mahir berbahasa Inggeris. Bukan setakat Inggeris. beliau juga mampu untuk bertutur dalam dilek Mandarin, Hokien, Tamil, Jepun dan Arab. Apa yang jelas, beliau petah berbahasa Jepun.





Bukan setakat itu, ada lagi yang lebih menarik. Tampak seperti rumahnya adalah satu muzium. Inilah buku yang dijadikan "GUEST BOOK" untuk menulis maklumat diri pelawat.

Kami diarahkan menulis nama, alamat dan tempat pengajian dalam buku tersebut sebagai rekod simpanannya.

Kalaulah beliau ada blog ataupun facebook, mesti mudah nak berhubung.





Sudah 1 jam kami membelek semua koleksinya. Seperti biasa, kalau duduk lama-lama kebosonan mula muncul. Makanya, kami mengemas segala benda yang berterabur sebagai simbolik untuk meminta diri.

Setelah usai mengemas ruang tamu rumah beliau, seraya kami meminta izin untuk berangkat pulang.

"Lepas ni nak ke mana?" tanya beliau.

"Kami nak pergi beli barang sedikit. Ada kerja", jawab Faiz.

"Nak beli apa?" sambungnya lagi

"Nak beli buah sikit", kami menjawab.

"Jomlah pakcik bawa pergi pasar. Mari-mari. Tunggu sat, pakcik nak tukar baju" pelawa beliau.


Agak terkesima di situ, kerana kami sudah tiada masa untuk menuju ke Giant. Malas nak menolok pelawaanya, kami pun menyahut pelawaannya itu dengan hati terbuka kerana tidak mahu mengecewakannya.



Kedai buah yang kami tuju iaitu di Pasar Teluk Kumbar. Gayanya seperti pasar pagi, agak sesak dengan pelanggan untuk membeli barang dapur tidak kita ikan, ayam mahupun sayur.
Faiz memilih epal merah, RM5.
Aku memilih epal hijau dan buah oren, RM6.
Pak cik tadi mengambil buah duku 1 kg, RM6.

Aku dan Faiz masing-masing ambil dompet untuk membayar. Tetapi ditegahnya supaya simpan duit itu.




Kami menolak pada awalnya, tetapi beliau masih berkeras. Agak lama di pasar, banyak pertanyaan beliau ajukan. "Nak apa lagi? Buah rambutan mahu? Nak beli apa lagi?". Tetapi semua persoalannya itu kami jawab dengan mudah, "Tak ada apa-apa. Cukup dah ni pak cik".

Kami dah mula gelisah, rasanya mahu cabut begitu sahaja. Berkali-kali minta kebenaran nak balik, namun tidak dihiraukan. Beliau berjalan ligat menusuri pasar tersebut. Akhirnya, tibalah saat untuk kami pulang setelah hampir 20 minit berada di pasar. Sekali lagi, kami hulurkan duit untuk bayaran buah yang dibeli tadi kepadanya. Sekali lagi ditolak bulat-bulat.

"Nah duit pak cik, banyak. Nak buat apa? Simpan duit kamu", katanya dengan tegas

Kami terpaku dan terpina seketika. Kami serba salah dibuatnya.

Masing-masing menyusun tapak ke kereta untuk pulang. Beliau minta diberhentikan dan turun di kedai anaknya di tepi jalan. Setakat itu sahaja pertemuan antara kami dengan hero Teluk Kumbar.

Beliau yang dimaksudkan ialah Haji Yahaya bin Sulaiman.



Kenangan di Teluk Kumbar



Allah datangkan seseorang kepada kita pasti ada sebabnya.
Kalau tempoh hari berjumpa dengan Pak Cik Ismail yang berusia 70-an di Masjid Kapitan, kali ini kami ditemukan dengan Pak Cik Yahaya.

Apa yang penting, kita tahu cara nak berkomunikasi dengan mereka dan melayan golongan lewat usia ini dengan penuh hormat dan tanggungjawab.

Berjumpa dengan mereka, membuatkan aku teringat pada seseorang. Memikirkan kalau beliau masih ada, mampukah aku membahagiakannya dan berbakti kepadanya. Hanya mampu berfikir sejenak, sudah tidak mampu bertindak kerana peluangnya sudah tertutup di alam nyata. Apapun, aku masih mempunyai ruang untuk berbakti kepadanya.


Belajar dari pengalaman mereka,
mendengar nasihat mereka,
menghormati mereka,
menjaga adab dan berbudi bahasa kepadanya,

Persiapkan diri kita seadanya!




panjang la plop, boleh jadi pengarang cerpen nih.Macam wartawan liputan pun ado
jugok