tanpanya,

aku tiada di sini
tanpanya,
aku tidak akan bernyawa lagi
tanpanya,
aku tidak mampu untuk gagah berdiri
tanpanya,
sudah pasti aku sunyi
tanpanya
ke mana harus aku pergi?

penaberkala
Di kesempatan ini, dengan rasa berbesar hati inginku kongsi satu kisah tentang seorang insan yang padaku sungguh mulia. Insan yang telah banyak berkorban sepanjang hidupku. Kalau diberi kesempatan masa yang panjang sekalipun, tidak mampu untuk aku menyenaraikan kesemua pegorbanan dan jasa beliau selama ini. Setiap detik, pasti ada saja yang beliau lakukan untuk aku! Justeru, sedikit masa diambil sebagai tanda penghargaan khas buat beliau.


tanpanya,
aku tiada di sini

Sudah pasti, tanpa beliau aku tiada di sini. Tidak dapat menikmati kehidupan seperti hari ini. Tidak mendapat nikmat Islam dan Iman semudah ini. Beliaulah insan yang telah berkorban nyawa demi memberi aku nikmat kehidupan,
Alhamdulillah! Jerih payah selama ini demi membesarkan aku dari sekecil tapak tangan hingga sebesar hari ini tidak mampu kubalas.

tanpanya,
aku tidak akan bernyawa lagi

Tanpanya, pasti aku tidak bernyawa lagi. Seusia aku 3 tahun, kejadian yang mengerikan dalam hidup aku dan keluarga berlaku. Tanpa keberanian beliau, sudah tentu aku tiada lagi di bumi yang nyata ini. Begitu besar pengorbanan beliau untuk kusingkap di ruangan yang kerdil ini!

tanpanya,
aku tidak mampu untuk gagah berdiri

Susah untuk aku katakan aku berdiri hari ini tanpa sokongan beliau. Sejak dilahirkan, hingga ke saat ini, FINAL EXAMINATION JULY 2009, beliau sentiasa tetap di sisi. Walau terpisah jarak, namun kasihnya sungguh dekat di hati. Keprihatinan beliau cukup membuatku diriku bangga mempunyai insan ini dalam hidupku!

tanpanya,
sudah pasti aku sunyi

Tidak dapat kugambarkan kondisi diri ini tanpa beliau. Kehidupan berjauhan dengan beliau cukup mengajar aku erti kasih sayang yang sebenar. Perpisahan sementara yang ku lalui sepanjang hidupku ini sungguh mematangkan aku dengan erti kehidupan yang nyata. Cukup sudah kehilangan satu buat masa ini, izinkan aku terus bahagia di sampingnya. Ku pohon dikurniakan kesempatan untuk itu.Amin

tanpanya,
ke mana harus aku pergi?

Susah untuk dinyatakan. Perkara yang paling menakutkan. Apa yang aku
harap agar dapat ku tangkis perkara sebegini dalam benak fikiranku. Kurniakanlah daku kesempatan untuk berbakti kepada beliau. Semoga langkahku sentiasa direstui dan mendapat keberkatannya!

Beliau yang dimaksudkan tidak lain dan tidak bukan adalah bondaku yang tercinta SEBARIAH BT CHE KOB


di pagi Aidilfitri 2009

Hari ini, 12 NOVEMBER 2009, maka genaplah usia beliau 53 tahun. Tiada apa yang kuharap melainkan semoga beliau sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik dan kesejahteraan hidup!

Ya Allah, ampunilah segala dosaku, dan (dosa) kedua ibubapaku, dan rahmatilah keduanya sepertimana mereka mendidikku pada waktu kecil.
HAPPY BIRTHDAY TO MY BELOVED MOTHER!
FAKTA
  • Seorang ibu yang tegas, garang dan penyayang
  • pandai memasak dan sangat suka buat kuih-muih dan kenduri makan-makan
  • makanan kegemaran : ikan terebuk
  • burger-pizza-sosej-kebab -> hanya menggeleng kepala
  • rajin bekerja dan tidak suka duduk saja
  • tidak suka anak-anak berahsia dengannya walaupun dalam kesusahan!
  • pelbagai pekerjaan diceburi demi keluarga dari pekerja kilang tembakau - petani - peniaga kantin - penoreh getah - latest -> terima tempahan kuih-muih, ketupat palas dan pulut untuk perkahwinan!
  • tahap pendidikan : peringkat rendah sahaja
  • kurang mahir dalam membaca dan menulis tetapi sungguh cekap dalam kira-mengira
  • apepun faktanya, aku sayang beliau amat sangat!
MEMORI
kalau study kat rumah, melebihi pukul 12 tengah malam, dari bangku sekolah rendah sampai ke masuk U, pasti segelas MILO AIS terhidang di atas meja. Begitulah sokongan padu beliau yang akan sentiasa aku ingat sampai bila-bila!
PERSOALAN
  • kenapa masih ada manusia di muka bumi yang tidak menghiraukan ibubapa mereka? Malah, ada yang sanggup menghalau dan menghantar ke rumah-rumah kebajikan?Nauzubillah. Semoga kita dijauhkan daripada terjerumus ke lembah kederhakaan itu.
  • bagaimana untuk membahagiakan mereka kini, esok dan selamanya?
  • persoalan masa depan: mampukah kita berlaku adil terhadap pasangan (suami/isteri) dan orang tua kita? (pastinya ramai yang akan tewas di sini! semoga kita tidak begitu)
p/s: Tepuk dada, tanyalah hati dan galilah dengan akal. Sesiapa yang tidak lokek untuk berkongsi, idea dan buah fikiran anda amat dialu-alukan. Kecil tapak tangan, nyiru ditadahkan!

"Kesusahan mengajar erti kesungguhan dan menghargai"