Showing posts with label NUKILAN DAN ILHAM. Show all posts
Showing posts with label NUKILAN DAN ILHAM. Show all posts

UNIK
penaberkala

Ada seibu
Ada sebapa
Ada seibu dan sebapa
Ada berlainan ibu berlainan bapa
Itulah kami

Ada yang berbinkan sama
Ada yang berbintikan sama
Ada juga yang berbinkan dan berbintikan nama yang berbeza
Itulah kami

Kami sedar
Walaupun ada perbezaan bin dan binti
Tapi kami faham dan harus mengerti
Kami adalah sama dan serupa
Kerana darah yang mengalir dalam diri kami
Masih darah merah yang sama
Masih ada DNA yang hampir serupa
Masih ada pertalian darah antara kesemuanya
Itulah kami

Walaupun kami agak kompleks
Tetapi kami semua perlu relaks
Mensyukuri kewujudan kami yang unik
Hilangkan kekeliruan, hilanglah pelik
 Itulah kami

Kami adalah kami
Sepuluh jari itulah kami
Dua belah tapak tangan di situlah jari berdiri
Tanpa satu hilanglah seri
Pastinya sukar untuk terus berfungsi

Semoga yang sepuluh ini abadi terpatri
Menjadi jari-jemari yang indah tak terperi
Semoga kasih yang sepuluh ini juga tersimpul rapi
Di mulut dan di hati
Susah senang sehidup semati

Kepada yang sulung
Jasamu terlalu agung
Kepada yang tengah
Jiwamu sungguh tabah
Kepada yang bongsu
Jangan cepat mengalah selagi tak pulangkan tuah

Kami
Jangan ada iri hati
Jangan ada sekelumit benci
Jangan ada sakit-menyakiti
Jangan ada hina-mencaci

Kami
Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh
Berat sama kita pikul, ringan sama kita jinjing
Ke puncak sama kita daki, lurah sama kita turuni
Hati gajah sama-sama kita lapah, hati kuman sama-sama kita cecah
Cubit paha kanan, biar paha kiri boleh merasa
Agar hidup saling melengkapi
Bagai aur dengan tebing
Bagai isi dengan kuku
Jangan pula ada yang pentingkan diri
Bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing

Kami
Biarlah dulu kini dan selamanya
Kita hidup bersama
Di sini mahupun di sana
Walaupun jauh jarak antara kita
Biarlah hati tetap dekat

Unik
Itulah kami
November 2010


Dedikasi khas untuk abang-abang dan kakak-kakak. 
Jasamu akan ku kenang sampai bila-bila.

Roslan Mah Hassan
Rosilah Mah Hassan
Rohana Mah Hassan
Rozmi Mah Hassan

Tengku Baizura Tengku Hamzah
Tengku Hasbani Tengku Hamzah

Siti Nor Ali

Norme Haslida Mah Hassan
Ahmad Faizal Alwie Mah Hassan

Terima kasih untuk segalanya!
I love you all


notakaki : Alhamdulilllah, dikurniakan keluarga yang amat supportive dan caring. Abang dan kakak yang tak mampu dibeli walaupun punya harta yang berjuta. Semoga suatu hari nanti, cepat atau lambat, aku dapat membalas budi dan kembali berbakti. Amin... Doakan kejayaan adikmu di sini :)


Puisi ini dikarang pada November 2010

ILHAM
penaberkala

Datanglah
walaupun sekejap
kerana hadirmu pastinya ku berharap

Datanglah
walaupun sedetik
kerana hadirmu pastinya berputik

Dalam hiruk-pikuk kota
Dalam sunyi-sepi desa
Kau hadir tanpa berita
Kau pergi tanpa cerita

Tak ku duga
Sepanjang zaman ku menunggu
Sepantas kilat cuma kau beradu
Hadirmu tak ku paksa
Pergimu tak ku rela

notakaki : Lama betul blog tak update. Ada orang rindu ke? wakakaka. Terima kasih daun keladi kepada semua readers yang sudi membaca selama ini, lain kali singgah la baca lagi. Takde mood dan ilham nak update blog. Tambah pulak dengan penyakit malasitosis. Baru nak start aktif balik. Jom, layan.... 
Kini, aku "ingin kembali"

Ilham datang tak kira tempat, kadang-kadang dalam jamban pun boleh dapat yang hebat-hebat

A S T A N A    I M P I A N
N u k i l a n : p e n a b e r k a l a





Di puncak sana
Hendak kita dirikan
Astana idaman kita
Yang megah bergaya


Hari ini
Kita mula mendaki
Liku-liku penuh onak dan duri
Bulatkan tekad tabahkan hati
Ke puncak yang tertinggi


Namun
Terlalu banyak cabaran dan dugaan
Bukan satu, tapi beribu
Bukan mudah untuk kita terus menyusun tapak
Kerana kadang-kadang kita tergeliat dan terjatuh berselerak


Derita...
Kecewa...
Sengsara...
Merintih sendiri
Percayalah
Itu hanyalah sementara
Kelak bahagia
Akan kita kecapi selamanya


Mari kita teruskan 
Langkahan demi langkahan
Pedulikan sakit yang sementara
Berjuang hingga jaya
Mendaki ke puncak sana
Tanpa kenal erti putus asa


Astana idaman itu 
Mari kita dirikan
Apapun jua rintangan
Mari kita lawan
Ayuh kita berjuang
Habis-habisan
bukan
cebis-cebisan!





Jika semalam adalah satu kesilapan,

Hari ini hanya satu kebetulan,

Semoga hari esok menjadi satu kenyataan!


BENDERA
 Nukilan : penaberkala

Ada apa pada bendera?
Kau kibar di sini sana
Kau gantung di mercu menara
Kau pacak di tanah rata
Kau kibar di puncak pokok kelapa
Kalau kau sendiri tidak faham ertinya

Apa salah bendera?
Bila sanjung kau kibar
Bila naik hantu kau bakar
Bila bangga kau pacak
Bila naik angin kau pijak

Apa guna warna bendera?
Bila merah
Buat semua bikin amarah
Bila biru
Buat semua bikin haru-biru
Bila hijau
Buat semua bikin pencacau
Bila kuning
Buat semua bikin pening
Bila putih
Buat semua bikin merintih
 
Apa rasa bila bendera menjadi alat?
Atau diri sendiri diperalat?
Alat tebalkan lemak perkauman
Alat kebalkan tembok kenegerian
Alat semarakkan api sentimen murahan
Alat perkukuhkan benteng pemisah
Alat menghangatkan semangat  assabiah
Alat membakar kemarahan pihak yang bertelagah

Sedih cukup sedih
Melihat nyalaan merah jingga pada bendera
Kau pijak di sini sana
Kau ganyang merata-rata
Kau herdik, kau hina
Tanpa rasa sekelumit cakna

Cukup lah cukup
Nyalakan api yang bisa membakar jiwa

Mari lah mari
Padamkan  bara yang bisa menyalai sanubari

Ayuh lah ayuh
Rasionalkan tindak-tanduk
Jangan asyik menjadi pelanduk
Yang hidungnya dicucuk-cucuk
Kelak yang berdiri pun bisa terduduk

Ingatlah
Bendera itu terselit hikmat
Bendera itu tercalit khidmat
Bendera itu terpalit hakikat
Bendera itu tercatit keramat

 Contest Aku Berpuisi

Syarat-syarat penyertaan
  1. Tema Puisi adalah bebas, bergantung kepada kreativiti anda. Yang paling penting puisi  bermesej dan asli. (Cadangan tema: Kemanusiaan, Palestin, Agama, Nasihat, Politik)
  2. Wujudkan satu entri puisi di blog anda disertakan dengan Banner Contest Aku Berpuisi & Tajuk entri "Contest Aku Berpuisi-Tajuk Puisi Anda". (Contoh tajuk: Contest Aku Berpuisi-Jasa Guru)
  3. Tinggalkan link pada ruangan komen entri Contest Aku Berpuisi.
  4. Tag 3 orang kenalan blog
  5. Tarikh Akhir 16 Ogos 2011

Kehakiman
  1. Peringkat Saringan: Pemilihan 20 puisi yang terbaik daripada semua puisi. 
  2. Peringkat Akhir: 3 panel pemilih akan dirujuk iaitu para pensyarah dalam bidang Kesusteraan Melayu untuk menilai 3 puisi yang terbaik untuk ditabalkan pemenang. 


Hadiah
  1. Novel Sastera Melayu yang diiktiraf kepada 3 pemenang utama (Tajaan Blogger WARNA DAN AKU)
  2. Topup RM30 kepada Puisi Terbaik (Tajaan Blogger MIECYBER'S BLOG)
  3. Button Batch Contest Aku Berpuisi kepada 3 pemenang utama 
  4. Button Batch Contest Aku Berpuisi kepada 5 puisi yang bertuah 


NOTAKAKIPUISI : Aku teringin nak tengok puisi dari 3 orang rakan blogger yang aktif berkomentar di blog ini dan berbakat besar dalam penulisan kreatif iaitu (1) Monolog Dalaman (2) Pisau Belati dan (3) Musafiran Dunya


Puisi ini telah terpilih sebagai 5 puisi pilihan untuk Constest Aku Berpuisi di blog Mohamad Azhan dan turut diterbitkan di blog beliamuda
 Bola itu bulat, 
tapi bukan selama-lamanya akan kekal bulat
Bola itu bulat,
tapi bukan hanya untuk disepak



FALSAFAH BOLA SEPAK
Oleh : penaberkala


Kehidupan yang kita ada ibarat 90 minit di atas padang bola sepak. Menang, kalah mahupun seri hanya dapat ditentukan setelah wisel ditiup


Serangan bertubi-tubi dan penguasaan bola di padang tidak bermakna tanpa penyudah dengan jaringan. Umpama usaha keras dan berpenat-lelah tanpa hasil


Setiap kesilapan dan kesalahan yang kita lakukan, kadang-kadang terlepas dari pandangan. Namun, adanya pengadil pastinya balasan setimpal bakal kita peroleh. Tidak kad kuning, kad merah bakal dilayangkan selaku hukuman


Orang yang hadir dalam hidup kita jangan dianggap seperti bola sepak. Nak kita kejar, tak nak kita tendang laju-laju.


Sebolehnya, jadilah seperti goalkeeper. Sentiasa berusaha mengawal gawang gol dari dibolosi dalam apa jua keadaan sekalipun


Keputusan yang kita buat, kadang-kadang dipengaruhi dan dibantu oleh orang sekeliling kita seperti patuhnya pengadil perlawanan kepada penjaga garisan kiri dan kanan


Orang sekeliling hanya penyokong. Bersorak di waktu kemenangan,mencela di waktu kekalahan.Selaku pemain,kita perlu bermain sepenuh hati kita tidak kira kalah, menang mahupun seri.


Penyokong yang setia adalah penyokong yang menerima setiap keputusan perlawanan sama ada menang, seri mahupun kalah seperti seorang sahabat yang setia kepada sahabatnya tika susah mahupun senang


Tiada apa yang mustahil dalam hidup selagi ada kesempatan dan peluang. Ibarat kemenangan yang diperoleh dalam perlawanan walaupun sudah ketinggalan 0-2 mahupun 0-3 pada awalnya


Peluang yang kita peroleh dalam hidup seperti sepakan penalti. Sama ada kita manfaatkan dengan sebiji jaringan atau mensiakannya dengan sebuah kekecewaan.



NORMA KEHIDUPAN


Hidup penuh dengan warna-warni, hanya kita yang mampu mencorakkannya dengan warna pilihan dan kesukaan kita sendiri


Kita ada apa yang orang lain tiada, dan sebaliknya. Itulah uniknya manusia, kita sama tapi kita berbeza-beza


Notakakibangku : Aduh, sampai nak berfalsafah pun rembat habis istilah bola sepak. Maklumlah, musim bola sepak kan tengah rancak sekarang. Semua yang tercatat adalah rekaan semata-mata, boleh pakai ambek, tak boleh pakai campak jauh-jauh. Ilham dari laman twitter @penaberkala.

Ada apa-apa nak tambah? Silakan, kecil tapak tangan, stadium Bukit Jalil saya tadahkan.


Yezza, dah dapat green-light untuk ke Bukit Jalil untuk Final FA 2011 11 June nanti. Semangat-semangat! Jom sama-sama sokong bola sepak tempatan. Gomo qlate gomo, peteh ganu peteh. Mana satu pilihan anda?


MUNGKINKAH?
penaberkala

Ingin ku lihat
Yang kaya itu berjalan kaki
Yang miskin itu menaiki Ferrari

Ingin ku dengar
Yang bijak pandai itu gagal
Yang bodoh sombong itu berjaya

Ingin ku sentuh
Yang merah membara itu dingin
Yang jernih berasap putih itu hangat

Ingin ku rasa
Yang manis itu kopi
Yang pahit itu gula
Yang pedas itu garam
Yang masin itu lada

Ingin ku tahu
Yang bercakap benar itu petualang
Yang lidah bercabang itu pejuang

Ingin ku bertanya
Mungkinkah?

Ingin ku beri
Yang berkata mungkin satu persoalan
Yang berkata tidak satu jawapan


Tiba-tiba rasa selesa meluahkan kata-kata dalam bentuk penulisan kreatif. Bukan nak berlagak jadi sasterawan negara, cuma jiwanya ada di situ. Kali ini, lebih selesa menyampaikan yang tersirat dari yang tersurat. Mungkin sudah bosan asyik membaca yang tersurat, situ sana sini terpampang. Sampai mual dan sesak nafas sendiri.

Kali ini, izinkan diri sendiri faham apa yang ditulis. Menulis dari ilham dan pemikiran sendiri. Mungkin ada antara mereka yang lain di luar sana juga faham, cuma faham dengan persepsi dan pemahaman yang berbeza. Itu cukup, asal mesej itu ada. Mungkin ada langsung yang tak akan faham, "gila apa duk membebel, karut semua ni, blablabla", biarkan mereka, itu kuasa mereka.


"menulis kerana suka, jangan sampai terpaksa"
"menulis ikut rasa, biar orang membaca pun suka"
"menulis itu bahaya, jangan sampai jadi bahana"
"semua mampu baca, tapi tak semua mampu menulis"
"semua mampu menulis, tapi bukan semua nak jadi penulis"

penaberkala



SERIBU ISU

Sehari-hari
meniti di bibir mulut orang berbicara
di kaca televisyen
di dada-dada akhbar
di media-media cetak
di media-media elektronik
tweeter
facebook
blog
tidak terkecuali
tak terlepas
di warung-warung kopi

aku, kau,dia
ya, kita!
dengar, lihat dan baca
satu persatu
hari demi hari
apa yang sedang berlaku
macam-macam
lebih satu
mungkin seribu

apa yang kita mampu
dengar, baca, tengok
bercakap
berbicara
ambil tahu
diam membisu
atau buat buta dan bisu
tak payah ambil tahu
pilihlah salah satu
kadang-kadang perlu lebih dari itu
sendiri tentukan

tapi ingat
baca, lihat, dengar
fikir degan bersih
rasional
jangan emosi
tak guna menyalak sendiri
cuba sembunyikan warna bendera dalam almari
sekejap
kaji dan teliti

satu
soal agama rasmi
Islam,Kristian
mana satu?
Ada kata betul
Ada yang sangkal
Ada yang nak playsafe
Tapi satu
perlu ingat
mana letaknya perlembagaan?
Artikel 3 (1)
tak kan itu pun tak tahu
hati-hati
jangan buat buta dan tuli

dua
tonton video seks berjemaah
ibu ayah dan anak-anak
depan tv?
mana taknya
sudah ada terpampang di depan mata
sengaja?
tidak bagi yang menonton
sedikit je pun, sensor kot
ya, memang betul
tapi relevenkah?
tak malu ke nak jawab
mungkin si kecil akan tanya
umi, apa itu?
papa, mereka buat apa ni?
ternganga gamaknya
sekarang perlu tanya
salah siapa?
untuk apa?
wajarkah?
tepuk dada, tanya selera
tepuk kepala, galilah dengan akal

tiga
simbah asid
takut, ngeri, kejam, zalim
ya, setuju
mangsa tak berdosa
ya, mereka tak salah apa-apa
motif?
entah
takziah kepada mangsa
hati-hati kepada semua
bila isu timbul
desas-desus pun muncul
ada yang kaitkan dengan peristiwa 13 mei?
perlu ke?
ada bukti, ada saksi?
cuba teliti
jangan main sembur
telan tanpa kunyah
ini jenayah
tolong
hindari prejudis
tangkap yang salah
buru sampai dapat
bagi ganjaran setimpal

 empat
tanah runtuh
Hulu Langat, Kajang
Mangsa?
Anak-anak yatim
Rumah Anak Yatim Al-Taqwa
lebih kurang 25 tertimbus
ramai yang terkorban
Innalillah wa-inna ilaihi raji'un
daripadaNya kita datang
kepadaNya kita kembali
maut tak kenal siapa
takziah kepada mangsa
harus puji
rakyat kita sungguh prihatin
peka
pemurah
kagum

lima
halal atau haram
sampai bila nak berteka-teki
logo halal terpampang 
semua yakin 
duduk makan semeja 
tanpa sedikitpun ragu-ragu
hari ini
penemuan DNA ba alip ba ya dalam ujian
serta-merta haram
tercalit nama restoran sana sini
terkena tempias haram
eh, aku pernah makan
eh, aku pun
kau pun?
sama
ketawa? senyum? blurrrr?
semua keliru
apa fungsi logo halal?
sekadar boneka?
menghalalkan yang haram
arghhh, keliru
bila ada syubhah
jangan cuba pura-pura yakin
haram hukumnya
kedai mamak, mee segera, bahan mentah
mula jadi tanda tanya
seolah-olah tidak selamat
untuk makan di bumi sendiri
oh, mencabarnya!

cukup lima
jenuh nak atur sampai seribu
tak masuk lagi lain-lain isu
tandas awam
harga petrol
harga kuih gerai mak cik jenab
bakar bendera
bola sepak
subsidi
royalti
integrasi nasional
jawabnya
kepala di bawah kaki ke atas

izinkan aku berleter di ruangan sendiri
agar aku tidak hanyut dibuai mimpi

penaberkala

p/s : mungkin apa yang aku rasa kau juga merasa, tak banyak mesti ada sikit. Walaupun mungkin pemikiran kita berbeza. Tidak perlu angguk tanda setuju. Ini mungkin hanya apa yang aku tahu.Sedikit, ye hanya sedikit.


Ada apa-apa isu yang tertinggal yang mahu dikongsi?




 
INGIN KEMBALI
penaberkala


Di keheningan malam hari
Aku duduk termenung seorang diri
Rintihan hujan membasahi bumi
Angin bayu membelai sanubari


Malam kini terang
Disinari seribu bintang
Dan rembulan pun turut datang
Sinaran hati terang-benderang


Kesungguhan bertakhta di hati
Aku terus menggerakkan jari
Menari-nari di papan kekunci
Kini aku ingin kembali
  


aih, baru sedar sudah lama blog ini ditinggalkan bersendirian. Masih ada ke orang yang jenguk? Hidup segan, mati tak mahu nampak gayanya,haha. Alang-alang nak berblog, sepatutnya kena la update jarang-jarang kan? Apa nak buat, tak berkesempatan dan tak bernasib baik nak update, mood ke laut. Memang padan dengan nama "penaberkala".  Update memang ikut musim sungguh la, adoi. Di kala rajin, berderetlah entri, di kala malas hampeh,lol. So, untuk permulaan, cukuplah dengan 3 rangkap kat atas.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...